INFORMASI TEMPATAN

Maklumat Komuniti

Rancangan FELDA Jengka 4 yang terletak dalam daerah Maran ini telah dibuka pada tahun 1968. Gugusan Jengka merupakan gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang terdapat di sini iaitu sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:

Mitos 1: Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka. Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

Mitos 2: Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran Tok Batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai Jin kah? Dari sinilah Jengka mendapat nama. Oleh itu, terciptalah nama Jengka.

Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar kelapa sawit. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka juga diberikan nama mengikut nama bunga. Oleh itu, Jengka 4 dikenali dengna nama Felda Jengka 4 (Kemboja). Sebagaimana di tanah rancangan FELDA lain, penduduk Jengka juga disebut sebagai peneroka dan ditadbir oleh seorang pengurus yang dilantik oleh pihak pegurusan FELDA.

Sebelum penerokaan, kawasan ini dipenuhi oleh hutan. Apabila Felda membuka dan menjadikannya sebuah tanah rancangan, kawasan ini mula membangun dan makmur. Kini banyak perubahan boleh dilihat antaranya rumah-rumah peneroka telah banyak diubah suai bersesuaian dengan taraf hidup mereka. Manakala setiap peneroka diberikan tanah seluas 10 ekar untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit. Jumlah penduduk di Felda Jengka 4 dianggarkan kira-kira 1802 orang serta jumlah peneroka sebanyak 345 orang. Kesemua penduduk di sini berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Pekerjaan utama penduduk di Felda Jengka 4 ialah kegiatan pertanian. Majoriti peneroka di Felda Jengka 4 mengusahakan tanaman kelapa sawit. Terdapat juga penduduk Felda Jengka 4 mengusahakan kegiatan penternakan. Selain itu, terdapat segelintir dari peneroka dan generasi kedua Felda Jengka 4 menjalankan perniagaan kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta, bengkel besi dan berniaga pekan sehari. Malah ada juga yang mengambil upah menjahit pakaian, menjual kuih muih serta terlibat dengan perniagaan online.

Rekreasi & Pelancongan

Taman Rekreasi Che Minah Sayang


Tempat menarik yang bernama Taman Reakreasi Che Minah Sayang. Dahulu, Namanya dikenali sebagai Lubuk Ujid. Tetapi telah dimasyurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada tahun 2017. Taman Rekreasi ini terletak di antara Jerantut ke Maran, iaitu 10 km dari Bandar Maran. Kawasan di Taman Rekreasi Che Minah Sayang ni sangat sesuai untuk seisi keluarga kerana air sungai cetek dan jernih disamping dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pondok rehat (gazebo), tandas,tempat permainan kanak-kanak serta kemudahan chalet turut disediakan untuk pengunjung yang ingin bermalam di sana. Keindahan air sungai yang dikelilingi flora dan fauna ini membuatkan pengunjung lupa seketika hiruk pikuk bandar dan kesibukan kerja. Terbaru, turut disediakan Bentara Campsite yang menawarkan aktiviti-aktiviti yang sangat menarik seperti ATV,”paintball” , memanah, “teambuilding” dan sebagainya.

Galeri Tokoh & 3D Maran


Galeri ini terletak berhampiran dengan Taman Tasik Maran dan ianya dibuka pada 3 Februari 2020 kepada orang ramai. Galeri Tokoh ini mempamerkan sejarah tokoh-tokoh yang dilahirkan di daerah Maran Pahang manakala Galeri 3D memiliki lukisan 3D yang sangat menarik untuk dirakamkan gambar sebagai kenangan. Perasmian galeri ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang juga ADUN Kuala Sentul dan Ketua UMNO Maran pada 2 Febuari 2020

Taman Tasik Maran


Taman Tasik Maran adalah sebuah lokasi untuk beriadah. Taman Tasik Maran ini dilengkapi dengan dua buah 'playground' yang boleh menampung ramai kanak-kanak dalam satu masa, trek untuk berjogging dengan mengelilingi tasik yang bersaiz besar, Chalet Majlis Daerah Maran, dan banyak lagi. Taman Tasik Maran mempunyai pemandangan dan fasiliti yang sangat baik dan anda tidak akan sekali-kali rugi untuk berkunjung ke sini. Tarikan baru di Taman Tasek adalah tempat untuk sewaan basikal dan kereta mainan yang menjadi tarikan terbaru yang pasti dapat mengisi masa riadah penduduk di sekitar maran dengan penambahan gerai-gerai jualan makanan.

Tempat Makan Menarik


Nasi Arab Mandy Sareena By Bondamaness


Nasi Arab Mandy Sareena memang sentiasa menjadi tempat pengunjung-pengunjung yang inginkan kelainan. Cafe ini selalu dikunjungi orang sehingga perlu menunggu meja kosong terutama sekali ketika hari minggu dan cuti umum. Para pengunjung sebaiknya perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana tempatnya yang terhad.

Penggemar-penggemar Nasi Arab semestinya akan suka dan jatuh cinta dengan citarasa di Cafe Sareena ini. Tiada Nasi Arab yang sedap seperti di Jengka, semestinya kena cuba. Harganya yang berpatutan.

Kafe Teratak Bonda Sentuhan Kasih


Temerloh bukan sahaja mempunyai banyak kedai-kedai yang menjual ikan patin dan juga pelbagai menu yang berasaskan patin malah di Temerloh juga terdapat kedai kopi ala vintaj yang merupakan daya tarikan yang menarik untuk penggemar kopi. Mungkin konsep kedai kopi ini agak familiar di ibu kota, namun di bandar Temerloh, Warong Selai adalah pelopor bagi kafe yang mengetengahkan konsep sedemikian.

Warong Selai terletak di tepi jalan Maran – Temerloh. Warong ini diusahakan oleh sepasang suami isteri iaitu Rohamat Kamal Mustafa dan isteri Khalina Kamarumtham sejak 2017. Idea untuk menghasilkan kafe ini didorong oleh hobi Encik Rohamat bersama isteri beliau sewaktu menetap di Kuala Lumpur dan mereka gemar ‘café hopping’.

Nekad untuk merealisasikan impian untuk mempunyai kafe sendiri, Encik Rohamat dan isteri berpindah ke Temerloh iaitu kampung bapa mertua Encik Rohamat. Mereka menghias kafe mereka dengan barangan antik dan vintaj dan menamakan kafe tersebut sebagai Warong Selai. Bukan setakat kopi sahaja yang terdapat di Warong Selai ini, malah mereka mempunyai hidangan signature iaitu tat telur. Rata-rata pengunjung Warong Selai bukan sahaja datang untuk merasai pengalaman kafe vintaj, tetapi mereka juga mencari hidangan tersebut. Selepas beberapa kali menukar waktu operasi, lokasi, dan menu yang disajikan, akhirnya Warong Selai mula dikenali ramai sekitar penghujung 2020 dan Warong Selai kini tersenarai sebagai salah satu destinasi pilihan Tourism Pahang. Waktu operasi Warong Selai setiap hari Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dibuka pada jam 9 pagi hingga 3 petang dan tutup pada hari Isnin.

Kemudahan Awam
Masjid As-Sobirin Felda Jengka 4
Dewan Orang Ramai Felda Jengka 4
Pejabat Felda Jengka 4
Klinik Desa Jengka 4
Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4

Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 4 atau nama ringkasnya SK FELDA Jengka 4 merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Felda Jengka 4. Mula beroperasi pada 1 Februari 1972. Pada peringkat awal hanya terdapat 54 orang murid sahaja yang didaftar dan belajar di sekolah ini. Bangunan yang digunakan adalah bangunan sementara di empat buah rumah peneroka yang bernombor 104, 183, 185 dan 186. Tiga buah rumah lagi dijadikan rumah guru.

Guru Besar yang pertama ialah Encik Fadzil bin Ab. Rahman dan dibantu oleh dua orang guru sementara iaitu En. Zulkifli bin Yusof dan En. Hamzah bin Mohd Salleh. Pada tahun 1974, sebuah bangunan khas (Blok A sekarang) telah dibina dan menempatkan seramai 200 orang murid, 7 orang guru dan seorang pekerja. Bangunan tersebut telah didirikan di atas sebidang tanah seluas 19 ekar.

Pada tahun 1975, nama asal SK LKTP Jengka 4 telah ditukar nama kepada SK FELDA Jengka 4. Dua unit rumah guru telah didirikan bagi menempatkan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan. Guru-guru yang lain tinggal menyewa di rumah peneroka dan rumah kilang.

Pada tahun 1991, sekolah ini telah menempatkan seramai 537 orang murid, 28 orang guru, seorang guru besar dan 6 orang pekerja. Waktu persekolahan dilaksanakan dalam dua sesi. Pada tahun 1994, bilangan murid berlaku penurunan, hanya 486 orang sahaja yang belajar di SK FELDA Jengka 4.

Pada tahun 1999, bilangan murid seramai 319 orang dengan bilangan guru seramai 22 orang dan 6 orang kakitangan. Pada tahun 2001, sesi persekolahan hanya dijalankan pada sebelah pagi sahaja. Pada tahun 2005, kelas prasekolah telah dibuka dengan bilangan murid seramai 25 orang. Seorang guru prasekolah dan seorang pembantu pengurusan sekolah telah dilantik. Manakala pada tahun 2007, kelas j-QAF telah dibuka dan penambahan 3 orang guru lagi.

Pada tahun 2024, SK FELDA Jengka 4 memiliki 99 murid lelaki dan 96 murid perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 195 orang. Ia mempunyai seramai 19 orang guru dan 4 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Kisah Kejayaan

Noor Azura Binti Mohd Ali, berusia 37 Tahun merupakan seorang tender kantin sekolah di Sekolah Kebangsaan Jengka 6 dan Sekolah Kebangsaan Jengka 7. Dikenali dengan panggilan Kak Zura telah mendaftar menjadi ahli di NADI Felda Jengka 4 pada 10 April 2022. Beliau sering ke NADI untuk belajar kemahiran ICT di NADI Felda Jengka 4. Beliau pernah juga menyertai beberapa kelas dan aktiviti yang dianjurkan oleh NADI Felda Jengka 4. Antara kelas yang diikuti oleh beliau ialah Kelas Membuat Ledger Kewangan di Microsoft Excel, Kelas Marketing Shopee dan program usahawan (taklimat bersama SSM secara atas talian). Selepas mengikuti kelas dan program yang diadakan seperti kelas Microsoft Excel, penggunaan laman web Shopee dan sebagainya. Berkat kesungguhan, kerajinan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh Kak Zura ini akhirnya membuatkan beliau semakin mahir didalam ilmu pengetahuan ICT. Beliau bukan sahaja menggunakan ilmu yang dipelajari di NADI untuk kegunaan diri sendiri, malah beliau turut berkongsi ilmu tersebut dengan rakan-rakan dalam Kelab Amanah Iktiar yang beliau sertai dengan mengajar mereka dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan penggunaan ICT seperti menaip, mencari gambar secara online, membuka aplikasi secara online dan sebagainya. Kak Zura dan suaminya turut berbangga kerana beliau dapat meningkatkan kemahiran beliau daripada ilmu pengetahuan ICT yang dipelajari oleh staf NADI serta kemudahan yang disediakan di NADI untuk pembelajaran secara online dengan mudah.

Keusahawanan
Gerai Kak Yam

Siti Mariam atau lebih dikenali sebagai Kak Yam di Felda Jengka 4 ini merupakan seorang surirumah yang mula menjinakkan diri didalam perniagaan dengan berniaga beberapa jenis kuih muih di gerai berhampiran rumahnya. Kak Yam mula berniaga setiap hari kecuali hari Isnin bermula pukul 2.30 petang sehinggalah habis jualan kuih-muihnya. Disamping beliau berniaga kuih muih sendiri beliau juga turut memberi peluang kepada surirumah yang lain untuk menghantar kuih-muih mereka di gerai miliknya bagi berkongsi rezeki.Banyak kuih-muih sesuai untuk menu petang yang disediakan oleh K.Yam seperti Keropok Lekor,Goreng Pisang,Karipap,Nasi Lemak,Cucur,Sata serta beberapa lagi kuih tradisonal yang menjadi kegemaran pelanggan beliau seperti Tepung Bungkus, Lepat Pisang dan sebagainya. Selain kuih-kuih tradisional, K.Yam turut menjual kuih-kuih moden seperti Kek,Roti serta pelbagai variasi Donut yang menjadi kegemaran anak-anak muda.

Air Goncang Big Cup By Wanie

Siti Nur Syazwani Binti Mahamad Seperi atau lebih dikenali sebagai Wanie di kalangan penduduk Felda Jengka 4 telah memulakan perniagaan beliau dengan berniaga minuman "Air Goncang Big Cup" pada tahun 2022. Pada peringkat permulaan,Wanie telah memperkenalkan beberapa perisa kopi seperti Cappuccino,Tiramisu,Mocha dan Hazelnut. Bagi yang bukan penggemar kopi pula,beberapa perisa lain juga turut diperkenalkan seperti perasa Coklat,Strawberi,Honey Dew dan Vanila. Dengan memperkenalkan harga RM 5 untuk saiz gelas besar, minuman ini sangat berbaloi untuk dicuba. Bagi yang diluar kawasan Felda Jengka 4, Wanie turut menyediakan perkhidmatan "Cash On Delivery" bagi mereka yang teringin untuk mencuba minuman ini.